Penguasaan Bahasa Rasmi Malaysia-Bahasa Melayu

UCAPAN DI DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH

Oleh: DATUK DR JOSEPH LEE

Tarikh: MEI 2025

Tuan Yang Dipertua, ahli-ahli yang berhormat, serta rakyat yang saya hormati sekalian,

Salam sejahtera. Terima kasih kerana memberikan ruang kepada saya untuk berdiri di dewan yang mulia ini, demi menyuarakan beberapa isu pokok yang sangat penting untuk kita semua renungi bersama sebagai wakil kepada rakyat Sabah dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

1. Kepentingan Penguasaan Bahasa Melayu Sebagai Wakil Rakyat

Pertama sekali, izinkan saya menegaskan bahawa setiap wakil rakyat di Malaysia harus mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik kerana bahasa ini merupakan bahasa rasmi negara kita. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi medium utama penyampaian hasrat dan impian rakyat kepada ahli-ahli kabinet di Parlimen dan juga kepada kita di Dewan Undangan Negeri ini – yang merupakan pusat pentadbiran negara yang tertinggi.

Dengan penguasaan bahasa Melayu yang baik, seorang wakil rakyat dapat menyampaikan fakta dengan jelas, berdebat dengan yakin, serta peka dengan hujah pihak lawan bagi menangkis fakta-fakta yang tidak benar. Tanpa penguasaan bahasa yang cemerlang, suara rakyat yang kita wakili akan terhenti di lidah kita sendiri.

2. Keperluan Penguasaan Bahasa Inggeris di Dewan Undangan Negeri Sabah

Saya juga ingin menarik perhatian dewan bahawa di Dewan Undangan Negeri Sabah, penggunaan bahasa Inggeris turut dibenarkan. Maka, ini bermakna bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang cemerlang juga adalah satu keperluan penting bagi setiap wakil rakyat negeri ini. Kita mesti mampu berbicara dalam kedua-dua bahasa ini dengan fasih dan berkesan – demi kelangsungan komunikasi yang bijaksana dan meyakinkan.

3. Fenomena Wakil Rakyat Tidak Fasih dan Tidak Berfungsi

Tuan Yang Dipertua dan ahli-ahli dewan yang dihormati,

Sejarah politik Malaysia memperlihatkan kenyataan yang menyedihkan, di mana ramai wakil rakyat kita – di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri Sabah – masih tidak fasih dalam penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Akibat kelemahan ini, ramai wakil rakyat hanya duduk diam dalam bilik mesyuarat ketika perbahasan penting berlangsung, kerana mereka tidak faham apa yang dihujahkan. Maka, mereka juga tidak mampu memberikan pendapat atau bantahan terhadap hujah-hujah yang mungkin memberi kesan besar terhadap kepentingan rakyat dan negara.

Fenomena ini sangat mengecewakan rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada mereka melalui pilihan raya. Rakyat memilih wakil, tetapi malangnya, wakil itu tidak mewakili.

4. Isu ‘Mismatch’ Jawatan dan Keupayaan: Sistem Kuota Bukan Merit

Lebih menyedihkan, ramai ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hari ini tidak mempunyai pengetahuan terhadap isu-isu yang dibincangkan, dan tidak memahami kementerian yang mereka pegang.

Jawatan yang dipegang diberikan berdasarkan sistem kuota – bukan atas merit, kebolehan, kepintaran, atau integriti. Maka, wujudlah apa yang kita kenali sebagai ‘tidak padan’ atau ‘mismatch’ antara kemahiran dan tanggungjawab.

Inilah punca utama banyak kementerian gagal menjalankan tugasnya dengan baik. Dan ini, tuan-tuan dan puan-puan, adalah satu refleksi kegagalan kerajaan itu sendiri.

5. Persoalan Besar: Mengapa Yang Lemah Dipilih?

Namun di sebalik semua ini, timbul satu persoalan besar yang wajib kita jawab bersama:

Mengapakah individu yang gagal dan tidak layak ini masih juga dipilih oleh rakyat?

Adakah rakyat telah membuat pilihan yang salah?

Apakah rakyat termakan dengan janji-janji kosong – seperti janji menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam?

Ataukah mereka terpedaya dengan politik wang dan rasuah?

6. Harapan Baru: Kebangkitan Kesedaran Rakyat

Tetapi saya menyeru agar kita tidak putus asa. Dengan perkembangan sains, teknologi dan sistem komunikasi sosial media yang semakin meluas, rakyat kini semakin sedar. Mereka semakin jelas bahawa sistem meritokrasi yang menekankan kemahiran, pengetahuan, kebijaksanaan serta integriti adalah jawapan kepada kepimpinan yang berjaya.

Rakyat tidak lagi mahu pemimpin yang hanya petah berjanji. Mereka mahukan pemimpin yang tulus, berilmu, dan mempunyai hati yang murni untuk berkhidmat kepada mereka.

Malah, ada yang mengatakan – rakyat telah ditipu selama 63 tahun yang lalu. Namun tahun ini, adalah tahun lonjakan paradigma – tahun untuk merentasi pelangi pengharapan demi masa depan negara yang lebih adil, berdaya saing dan bermaruah.

Penutup

Tuan Yang Dipertua,

Sebagai wakil rakyat, saya berdiri di sini dengan penuh keyakinan bahawa penguasaan bahasa Melayu yang cemerlang, penguasaan bahasa Inggeris yang baik, serta pengetahuan dan kebijaksanaan adalah asas kepada wakil rakyat yang efektif.

Kita bukan sahaja harus celik huruf, tetapi juga celik minda dan celik hati.

Ayuh, marilah kita bangkit sebagai pemimpin yang bukan hanya bernama wakil rakyat – tetapi benar-benar mewakili rakyat.

Sekian, terima kasih.

Published by Datuk Dr. Joseph Lee

KNOW the way , SHOW the way, LEAD the way

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started